
KUALA LUMPUR – Selepas kecewa gagal menyaksikan pertemuan di antara pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan juara Olimpik, Lin Dan pada Terbuka Malaysia minggu lalu, harapan peminat untuk melihat pertembungan dua pemain terbaik dunia itu hampir menjadi kenyataan selepas kedua-duanya layakke separuh akhir Terbuka Korea, semalam.
Namun, sebelum tumpuan terarah kepada final esok, kem badminton Malaysia terlebih dulu bakal disajikan dengan aksi mendebarkan apabila beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong akan berdepan pasangan yang jarang dapat dikalahkan mereka, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae pada separuh akhir hari ini.
Kien Keat-Boon Heong mara selepas berhempas pulas untuk mengetepikan pasangan senegara, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Ong Soon Hock 21-17, 12-21, 21-16, ketika Jae Sung-Yong Dae pula menyingkirkan beregu senegara, Kim Ki Jung-Kim Sa Rang 21-19, 21-15.
Daripada 10 perlawanan, Kien Keat-Boon Heong kalah lapan kali di tangan di Jae Sung-Yong Dae, yang turun untuk mempertahankan kejuaraan di depan penonton sendiri. Bagaimanapun, anak didik Rexy Mainaky itu tetap memiliki kelebihan psikologi kerana menang dalam pertemuan terakhir mereka di Kejohanan Dunia, Ogos tahun lalu.
Selepas tidak gembira dengan prestasi yang ditunjukkan Kien Keat-Boon Heong ketika dipaksa berhempas pulas menjinakkan pasangan China, 25-23 11-21 21-19 di pusingan kedua kelmarin, Rexy percaya semangat bekas beregu No. 1 dunia itu sudah kembali.
Sekalipun fizikal mereka tidak banyak berbeza ketika disingkirkan pada pusingan pertama Terbuka Malaysia dan tersungkur di peringkat kumpulan Siri Super Masters Akhir, awal bulan ini, sekurang-kurang pemain mula menunjukkan satu respons yang positif.
“Dari segi fizikal, sebenarnya ia tidak banyak berbeza antara minggu lalu dan sekarang tetapi yang jelas, Kien Keat dan Boon Heong sudah kembali menemui semangat mereka.
“Menentang Yong Dae dan Jae Sung esok jauh lebih sukar, apatah lagi pasangan Korea ini berada pada prestasi yang baik sepanjang kejohanan. Mereka gemar melakukan hantaran rendah, dan tidak mudah untuk mematikan permainan mereka.
“Saya harap kemenangan Kien Keat dan Boon Heong ke atas mereka pada Kejohanan Dunia tahun lalu mampu menjadi motivasi tambahan untuk mengatasi Yong Dae dan Jae Sung,” Kata Rexy.
Sementara itu, Chong Wei bukan saja menghampiri perlawanan impian dengan Lin Dan, malah pada landasan mempertahankan kejuaraan selepas mengetepikan pemain muda China, Wang Zhengming 21-14, 21-19.
Kemenangan tersebut akan menemukannya dengan seorang lagi pemain pelapis China, Du Pengyu yang terdahulu mara selepas menyingkirkan naib juara All England, Kenichi Tago dari Jepun 21-17, 21-11.
Lin Dan, yang menarik diri pada suku akhir Terbuka Malaysia atas alasan cedera otot perut, berhempas pulas untuk menjinakkan pemain Indonesia, Taufik Hidayat 21-13, 8-21, 21-15 untuk menempah pertemuan dengan seorang lagi pemain negara itu, Simon Santoso yang melakar kejutan ke atas pemain No. 3 dunia, Peter Hoeg Gade 21-17, 21-16.
Terbuka Korea, kejohanan paling lumayan dalam sejarah badminton dengan menawarkan hadiah keseluruhan AS$1.2 juta (RM3.84 juta) turut menyaksikan kejutan pemain No. 3 dunia, Wang Xin kalah 21-11, 9-21, 19-21 yang kalah kepada pemain tuan rumah, Sung Ji Hyun dalam perseorangan wanita.

