
Lin Dan, Taufik penghalang impian di Kejohanan Dunia
PERSEORANGAN utama negara Lee Chong Wei berdepan undian sukar apabila seteru utama, Lin Dan dan Taufik Hidayat menjadi halangan dalam impiannya melakar sejarah memenangi Kejohanan Dunia buat kali pertama di Perancis dari 23 hingga 29 Ogos ini.
Dalam undian semalam, Lin Dan juara dunia tiga kali pada 2006, 2007 dan 2009 dijangka menanti Chong Wei di separuh akhir, manakala juara 2005, Taufik di suku akhir.
“Ia undian sukar tetapi sekiranya Chong Wei mampu menewaskan Lin Dan di separuh akhir, saya percaya dia tidak menghadapi masalah memenangi kejohanan dunia pertamanya,” kata bekas ketua jurulatih skuad negara, Razif Sidek.
Chong Wei yang sudah memenangi enam kejuaraan musim ini akan memulakan cabaran menentang pemain Guatemala, Kevin Cordon sebelum rakan senegara, Muhd Hafiz Hashim menunggunya di pusingan kedua.
Seorang lagi wakil negara, Wong Choon Hann pula diundi dalam kumpulan bawah bersama pilihan kedua, Peter Gade dari Denmark dengan pemain veteran itu memulakan cabaran menentang pemain Belanda, Dicky Palyama.
Pasangan nombor satu negara, Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong juga berdepan laluan sukar apabila gandingan Korea, Jung Jae- Sung-Lee Yong-Dae yang menewaskan mereka di separuh akhir Terbuka Taiwan, Sabtu lalu menunggu di suku akhir.
“Ia pasti perlawanan sengit antara kedua-dua gandingan itu seperti di Terbuka Taiwan. Saya harap Kejohanan Dunia menjadi medan terbaik kepada beregu negara untuk menebus kekalahan mereka,” kata Razif.
Pasangan veteran Choong Tan Fook-Lee Wan Wah akan memulakan cabaran menentang gandingan Jerman, Kristof Hopp-Johannes Scottler, sementara bekas pelatih kebangsaan, Gan Teik Chai-Tan Bin Shen berdepan gandingan Russia, Vitalij Durkin-Alexander Nikolaenko.

