ADA beberapa pemain senior dalam pasukan tetapi apabila beraksi di padang, mereka gagal menjalankan tugas seperti yang diharapkan.
Itulah luahan ketua jurulatih skuad kebangsaan, K Rajagobal ketika mengulas kekalahan besar Malaysia di tangan Indonesia pada perlawanan pertama Piala Suzuki AFF 2010, malam kelmarin.
Bukan sedikit kekecewaan yang dipamerkan raut wajah Rajagobal dan beliau menyifatkan keseluruhan pemainnya sebagai gagal dan kekalahan itu harus dipikul sebagai satu pasukan.
Beliau enggan menyebut identiti pemain senior yang dikatakan gagal membawa peranan itu sebaliknya lebih berminat bercakap mengenai pertemuan menentang Thailand dan Laos selepas ini.
“Thailand dan Laos seri pada perlawanan semalam (kelmarin) tetapi pada pandangan saya, Thailand tidak menunjukkan aksi sebenar mereka. Thailand jauh lebih bagus daripada apa yang mereka persembahkan dan saya yakin mereka akan melakar aksi yang lebih baik ketika menentang Malaysia nanti.
“Kita tahu Thailand memang kuat dan kalau pemain mahu melangkah lebih jauh dalam pertandingan ini, mereka perlu menang. Kalau sekadar seri, keadaan mungkin tidak memihak kepada kita. Kita tidak ada pilihan kecuali menang ke atas Thailand dan Laos.
“Kekalahan semalam seharusnya membuat pemain kita sedar dengan kesalahan masing-masing dan saya sudah memberitahu mereka apakah kesilapan itu. Saya sangat berharap aksi serupa tidak lagi berulang ketika kita turun menentang Thailand, Sabtu ini (esok),” kata Rajagobal.
Malaysia kini menduduki tangga terbawah Kumpulan A. Kumpulan yang dianggap kumpulan maut itu diungguli Indonesia sambil diekori Thailand dan Laos. Hanya dua pasukan teratas layak ke separuh akhir.
Rajagobal juga enggan mengulas lanjut mengenai perancangannya ketika bertemu Thailand, esok dan menjelaskan beliau mahu menunggu hingga saat akhir sebelum memutuskan pemain mana yang akan diturunkan pada perlawanan kedua itu nanti.
“Saya perlu mengkaji banyak perkara dan saya perlu berbincang dengan penolong saya sebelum memutuskan siapakah yang akan diturunkan nanti. Biarlah perkara itu dirahsiakan dulu,” katanya.

