
BRUSSELS – Pemain tengah Real Madrid, Kaka menjalani pembedahan lutut kirinya dan terpaksa direhatkan empat bulan, kata pakar bedah, kelmarin.
Sebelum ini, kelab Sepanyol itu dalam laman web rasminya memberitahu, Kaka disyaki mengalami kerosakan meniskus dan memerlukan pembedahan.
Dia telah diperiksa di Belgium oleh pakar, Dr. Marc Martens yang juga telah melakukan pembedahan arthroscopic selama setengah jam, kelmarin.
“Dia (Kaka) memerlukan kira-kira empat bulan untuk kembali beraksi. Tetapi saya amat optimis, dia akan bermain secara normal, seratus peratus.
“Dia juga sedikit bimbang kerana baginya, itu merupakan saat yang sukar dalam kariernya sama ada untuk menjalani pembedahan atau sebaliknya.
“Akhirnya, dia sedar, itu adalah cara untuk membantunya. Tiada alternatif lain kerana bulan lalu, kesakitan itu semakin terasa dan bimbang pada akhirnya nanti, dia mungkin tidak mampu beraksi di padang lagi,” jelas Dr. Martens.
Kaka yang juga pemain Brazil, terjebak dengan kecederaan itu sejak beberapa tahun lalu tetapi kembali sembuh untuk beraksi di Piala Dunia, Afrika Selatan dan kini terpaksa meninggalkan latihan pra musim bersama Real untuk menjalani pembedahan di Belgium.
“Dia adalah pemain paling popular di kalangan rakan pasukan dan juga pemain yang amat baik tetapi kami perlukan dia sihat 100 peratus.
“Jika kami kehilangannya seketika, itu tidak akan menjadi masalah. Kami mempunyai pemain lain dan itu sudah pastinya,” kata jurulatih, Jose Mourinho kepada sidang akhbar di San Francisco selepas Real membelasah Club America 3-2 dalam satu pertemuan persahabatan

