FABIO Capello mencabar semua pengkritiknya agar menilai diri mereka sendiri di hadapan cermin dan bertanya sama ada mereka layak untuk mengkritik dirinya.
Capello bangkit dari segala kritikan yang diterimanya apabila membawa kejayaan memberangsangkan buat England di pusingan kelayakan Euro 2012 pagi Sabtu lalu.
Namun, Capello sedar kemenangan 4-0 ke atas Bulgaria tidak akan mendiamkan mulut pengkritiknya yang memikirkan beliau perlu berundur dari tugas melatih England selepas kegagalan di Piala Dunia lalu.
“Apabila kamu bangun pagi dan memandang cermin, tanya diri sendiri sama ada apa yang kamu katakan mengenai saya betul atau tidak. Saya tidak boleh mengubah apa yang telah ditulis oleh orang ramai. Saya faham ia telah berlaku. Saya melihat diri saya sendiri dan saya yakin apa yang saya bawakan adalah baik.
“Saya cuba melakukan kerja saya dengan baik namun kadang-kala saya melakukan kesilapan,” katanya.
Menurutnya, di sebalik segala kritikan yang diterimanya, beliau mengakui tugas membimbing England masih menjadi ‘kerjaya impian’ dirinya.
Penyerang, Jermain Defoe muncul wira apabila mencatat hatrik membantu England mencatat kemenangan ke atas Bulgaria 4-0 di samping gol pertama Adam Johnson bersama England.

