
Maradona bengang!
BUENOS AIRES: Diego Maradona semalam mendakwa Presiden Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA), Julio Grondona sebagai ‘penipu’ manakala pengurus, Carlos Bilardo sebagai ‘pengkhianat’ selepas kedua-duanya memainkan peranan kepada penggugurannya sebagai jurulatih skuad kebangsaan Argentina.
“Grondona bohong kepada saya. Bilardo khianati saya,” katanya dengan penuh emosi pada sidang akhbar pertamanya semalam sejak dilanda kontroversi berhubung masa depannya sebagai jurulatih Argentina.
“Grondona berada di bilik persalinan selepas kami tersingkir dari Piala Dunia Afrika Selatan.
“Dia memberitahu saya dengan disaksikan pemain bahawa dia amat gembira dengan kerja saya dan mahu saya meneruskannya.
“Selepas kembali ke Argentina, perkara yang kurang sihat berlaku apabila dia menukar fakta itu dan Isnin lalu saya menemui Grondona.
“Selepas lima minit, dia memberitahu saya perlu meneruskan khidmat saya tetapi tujuh daripada kakitangan teknikal saya tidak diperlukan lagi.
“Bila dia memberitahu mengenai perkara ini, jelas dia tidak mahukan khidmat saya lagi.
“Dia tahu adalah mustahil bagai saya akan kekal sebagai jurulatih tanpa khidmat rakan-rakan saya itu,” kata Maradona.
Maradona juga mengkritik Bilardo yang menjadi jurulatih ketika skuad Argentina memenangi Piala Dunia 1986 dengan Maradona menjadi penggerak utama kemenangan itu. (more…)

