
KUALA LUMPUR – Walaupun cabaran perseorangan lelaki Malaysia pada Kejohanan Dunia minggu depan turut digalas naib juara dunia 2003, Wong Choong Hann dan juara All England, Muhammad Hafiz Hashim, namun seluruh tumpuan peminat badminton negara tetap terarah sepenuhnya kepada jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei.
Keadaan tersebut menyebabkan Chong Wei bagaikan keseorangan dalam menggalas cabaran di Paris dari 23-29 Ogos ini.
Malam tadi, Chong Wei berlepas bersendirian dari Sepang ke Paris.
Walaupun turut ditemani jurulatih, Datuk Misbun Sidek, namun dia terasing daripada skuad Malaysia selepas pemain negara yang lain berlepas terus ke Paris dari Bath.
Jika pemain yang lain mengalami kekalahan, ia tidak menimbulkan keresahan kepada peminat, namun jika Chong Wei gagal mencatat kemenangan maka kekalahannya akan menjadi satu isu yang hangat.
“Saya terpaksa membiasakan diri dengan keadaan itu sejak bergelar pemain No. 1 dunia, lama kelamaan ia sudah tiada apa-apa. Namun, saya tidak menafikan kadang kala tekanan tetap hadir kerana seluruh tumpuan terarah kepada saya.
“Keadaan ketika ini seperti… menang atau kalahnya Malaysia bergantung kepada saya, itulah yang saya rasakan. Apa pun, saya tetap bernasib baik kerana orang turut menyebut Koo Kien Keat-Tan Boon Heong sebagai harapan membawa pulang kejuaraan dunia, bermakna saya tidak keseorangan di Paris,” katanya.

